• Facebook
  • RSS
  • Twitter
  • QR Code
  • You Tube
Header

Fidyah

Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada’) bulan Ramadhan sehingga masuk Ramadhan tahun berikutnya.

Hasil bayaran fidyah akan dimasukkan ke dalam akaun Tabung Amanah Baitulmal Kedah sebelum urusan pengagihan kepada fakir miskin dalam bentuk beras dan bekalan makanan dilaksanakan.

Hukum Fidyah

Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.

Prosedur Membayar Fidyah di MAIK

Perkiraan dan bayaran fidyah boleh dibuat di Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Bangunan Wan Mat Saman, Alor Setar atau kepada wakil MAIK di setiap pejabat agama daerah.

Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah tersebut hendaklah diagihkan kepada fakir atau miskin.

Sebab-sebab Dikenakan Fidyah

  1. Uzur menunaikan puasa wajib

    Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.

  2. Perempuan hamil

    Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan.

  3. Ibu yang menyusukan Anak

    Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.

  4. Orang yang telah meninggal dunia

    Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.

  5. Melambatkan Ganti Puasa (Qada’)

    Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada’) puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan
Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman
Bangunan Wan Mat Saman, 05000 Alor Setar, Kedah Darul Aman 
Tel: +604 - 734 3755 Fax: +604 - 731 6634
Email: maik[at]kedah[dot]gov[dot]my
Hakcipta Terpelihara © 2016 Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman
Penterjemahan Bing digunakan untuk bahasa selain daripada English dan Melayu.
Sesuai dipaparkan menggunakan Internet Explorer 9.0 ke atas dengan resolusi 1280 x 768

Masa Capaian: saat
Kemaskini Terakhir: Rabu, 13 Disember 2017
Ezyweb Content Management System