• Facebook
  • RSS
  • Twitter
  • QR Code
  • You Tube
Header

Wakaf Tunai

Wakaf tunai ialah berwakaf menggunakan wang tunai yang dikumpul di dalam satu tabung amanah di bawah pengurusan nazir yang diamanahkan untuk mengurus wakaf ini (iaitu TABK) bagi tujuan membiayai aktiviti-aktiviti dan kebajikan amal jariah.Dana wakaf yang dikumpul kemudiannya ditukar kepada harta kekal yang akan dimanfaatkan untuk kebajikan dan kepentingan masyarakat Islam seperti pembinaan masjid,surau,sekolah agama dan tanah perkuburan.

Fatwa Pensyariatan Wakaf Tunai

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-77 yang bersidang pada 10-12 April 2007 di Kuala Terengganu telah memutuskan bahawa berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan dan dibenarkan untuk dilaksanakan bagi tujuan kebajikan dan kemaslahatan umat Islam.

Jawantankuasa Fatwa Negeri Kedah yang telah bermesyuarat pada 4 Rabiulakhir 1430 bersamaan 31 mac 2009 telah memutuskan pelaksanaan wakaf tunai di negeri Kedah dibenarkan, dan mengikut mazhad Shafie bahawa wakaf boleh digabungkan dengan wakalah seperti lafaz atau siqah berikut “saya memberi wang RM100 wakil kepada tuan untuk membeli harta wakaf bagi pihak saya”.

Imam Az-Zuhri, seorang ulama terkenal dalam ilmu hadith, telah memfatwakan bahawa berwakaf dalam bentuk dinar dan dirham adalah diharuskan bagi tujuan berdakwah, kebajikan ummah dan pendidikan umat Islam.

Skim Dana Wakaf Tunai merupakan satu wasilah bagi menggalakkan orang ramai menyumbang dan membuat pelaburan sebagai sedekah jariah (wakaf) tanpa had minimum untuk tujuan kebajikan dan kemaslahatan umat Islam keseluruhannya.

Skim Dana Wakaf Tunai ini memudahkan umat Islam untuk mewakafkan harta mereka dalam bentuk sumbangan wang tunai yang minimum kerana tidak semua umat Islam di negeri ini khasnya dan di Malaysia amnya, mempunyai aset atau harta kekal seperti tanah, bangunan dan sebagainya untuk diwakafkan.

Hasil wakaf tunai ini boleh diistilahkan sebagai Dana Wakaf untuk kebajikan umat Islam Negeri Kedah secara umum atau khusus. Penggunaan dan penyaluran wang Dana Wakaf ini akan ditentukan oleh Majlis Agama Islam Kedah.

Dengan memperkenalkan Skim Dana Wakaf Tunai yang mudah ini maka diharap semua umat Islam di negeri ini dapat menyumbang dan membuat pelaburan saham akhirat mereka.

Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman
Bangunan Wan Mat Saman, 05000 Alor Setar, Kedah Darul Aman 
Tel: +604 - 734 3755 Fax: +604 - 731 6634
Email: maik[at]kedah[dot]gov[dot]my
Hakcipta Terpelihara © 2016 Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman
Penterjemahan Bing digunakan untuk bahasa selain daripada English dan Melayu.
Sesuai dipaparkan menggunakan Internet Explorer 9.0 ke atas dengan resolusi 1280 x 768

Masa Capaian: saat
Kemaskini Terakhir: Rabu, 13 Disember 2017
Ezyweb Content Management System