• Facebook
  • RSS
  • Twitter
  • QR Code
  • You Tube
Header

Latar Belakang Wakaf

Pengertian wakaf

Perkataan wakaf adalah daripada bahasa arab yang bermaksud henti atau  tahan. Para ulama fiqh telah mengistilahkan wakaf : menahan harta yang boleh dimanfaatkan berserta kekal ain harta untuk tujuan kebajikan.

Pengertian Wakaf ialah salah satu ibadah menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan umum masyarakat dengan niat sebagai ibadah mendekatkan diri kepada Allah SWT. Contoh Amalan Wakaf ialah apabila Baginda Rasulullah SAW membina Masjid Quba’ yang dibina di atas tanah yang diwakafkannya ketika penghijrahan Baginda dan para sahabat ke Madinah. Begitu juga dengan pembinaan Masjid Nabawi di Madinah yang juga dibina dengan sumber wakaf. Dalil pensyariatan wakaf di dalam menggalakkan umat Islam menyumbangkan hartanya untuk manfaat umat Islam terdapat pada Firman Allah SWT pada ayat 92 Surah Ali Imran:

Maksudnya :

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

Firman Allah SWT lagi :

Maksudnya :

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”

(Surah Al Baqarah : Ayat 261 )

Rasulullah SAW sendiri juga menggalakkan umatnya memperbanyakkan sedekah seperti hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah :

Maksudnya :

" Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga perkara,SEDEKAH JARIAH, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan kepadanya."

(Hadis Riwayat Muslim)

Wakaf juga dikenali sebagai Sedekah Jariah, para Ahli Fiqh dan ulama’ berpendapat amalan wakaf adalah satu-satunya ibadah yang berbentuk sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir kepada pewakaf hingga ke hari akhirat selagi harta tersebut kekal dan dimanfaatkan. Malahan amalan wakaf ini juga bukan hanya sebagai satu ibadah sahaja, malahan merupakan satu sistem yang berpotensi untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat Islam melalui konsep pengumpulan harta bersama.

Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman
Bangunan Wan Mat Saman, 05000 Alor Setar, Kedah Darul Aman 
Tel: +604 - 734 3755 Fax: +604 - 731 6634
Email: maik[at]kedah[dot]gov[dot]my
Hakcipta Terpelihara © 2016 Majlis Agama Islam Negeri Kedah Darul Aman
Penterjemahan Bing digunakan untuk bahasa selain daripada English dan Melayu.
Sesuai dipaparkan menggunakan Internet Explorer 9.0 ke atas dengan resolusi 1280 x 768

Masa Capaian: saat
Kemaskini Terakhir: Rabu, 16 Ogos 2017
Ezyweb Content Management System