RSS Facebook Twitter Youtube

  • Hitam/White
  • White/Hitam
  • Yellow/Biru
  • Standard

Current Style: Standard

Change Font Size

Change Screen

Change Profile

Change Layouts

Change Menu Styles

Cpanel

Sejarah Pengurusan Wakaf Di Negeri Kedah

Versi pencetak mesra penggunaSend by email

Pengurusan Wakaf Sebelum Tanah Melayu Merdeka

Sebelum Tanah Melayu merdeka Kerajaan Negeri Kedah telah mewujudkan Ordinan Agama Islam dan pada masa itu negeri Kedah telah berada di bawah pengaruh British. Tiada undang-undang khusus mengenai wakaf diwujudkan. Pentadbiran Agama Islam dilaksanakan melalui Majmag Masyaih Islam di mana Syeikul Islam dilantik oleh Sultan sebagai mengetuai urusan pentadbiran Islam dan dilantik seorang Khadi Besar sebagai pegawai khusus untuk mentadbir Hal Ehwal Agama Islam.

Tanah-tanah wakaf telah ditadbir urus mengikut komuniti masyarakat setempat di mana Imam atau penghulu masjid-masjid menguruskan harta-harta wakaf masjid dan perkuburan Islam. Bagi tanah-tanah wakaf yang bukan untuk tujuan umum nazir khas telah dilantik oleh pewakaf untuk menguruskan harta wakaf mengikut tujuan dan kehendak pewakaf.

Walaubagaimanapun pada masa itu pejabat-pejabat tanah telah memainkan peranan sebagai pendaftar harta wakaf di mana harta-harta wakaf didaftarkan sebagai tanah reserve kerajaan. Di bawah pengaruh pentadbiran British tanah-tanah wakaf disenaraikan di dalam tanah RC (Reserve Certificate), tanah-tanah wakaf didaftar dan diletakkan nombor RC, lot, syarat tanah seperti tapak masjid, tanah perkuburan orang Islam, tapak sekolah agama dan lain-lain di samping dinyatakan pemegang hakmilik seperti Khadhi Besar, Imam Masjid, Penghulu Masjid dan lain-lain. Pendaftaran wakaf ini dilaksanakan sehingga Tanah Melayu merdeka dan Enakman Pentadbiran Agama Islam Negeri Kedah diwujudkan.

Undang-undang Pentadbiran Agama Islam Negeri Kedah

Undang-undang khusus wakaf di Negeri Kedah telah ditubuhkan pada tahun 1962 serentak dengan penubuhan Majlis Agama Islam Negeri Kedah sebagai sebuah Badan Berkanun Kerajaan Negeri. Undang-undang tersebut dikenali sebagai Enekmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Kedah No 9. Tahun 1962. Di dalam enakmen tersebut telah memperuntukan bahawa harta-harta wakaf terserah milik dan terletakhak kepada Majlis Agama Islam Negeri Kedah sebagai pemegang amanah tunggal wakaf di negeri Kedah.

Enakmen ini ditubuhkan selaras dengan Perlembagaan Malaysia yang ditubuhkan selepas Tanah Melayu merdeka pada tahun 1957 di mana Hal Ehwal Agama Islam diserahkan kepada kuasa negeri iaitu Sultan sebagai pemerintah. Sehinggalah tahun 2008 kerajaan Negeri Kedah telah meluluskan Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) 2008 bagi menggantikan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Kedah No 9. Tahun 1962 bagi tujuan penambahbaikan dan penyeragaman undang-undang di antara negeri-negeri di Malaysia.

Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) 2008

Wakaf, Nazr dan Amanah

Majlis menjadi pemegang amanah tunggal wakaf, nazr dan amanah

Pengurusan wakaf di Negeri Kedah dilaksanakan berdasarkan Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam (Kedah Darul Aman) 2008 Seksyen 52 :

Walau apapun apa-apa peruntukan yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana surat cara atau perisytiharan yang mewujudkan, mengawal, atau menyentuh perkara itu, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah yang tunggal :-

(a) semua wakaf, sama ada wakaf am atau wakaf khas;
(b) semua nazr am; dan
(c) segala jenis amanah yang mewujudkan apa-apa amanah khariat bagi menyokong dan memajukan Agama Islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut hukum syarak.

Perletakan harta wakaf, nazr dan amanah pada Majlis

Dan seksyen 53 :
Semua harta yang tertakluk kepada seksyen 52 hendaklah tanpa apa-apa pindah hak, serah hak, atau pindah milik, dan dalam hal harta tak alih sebaik sahaja didaftarkan di bawah undang-undang bertulis yang berhubungan dengan tanah, terletak hak pada Majlis, bagi maksud wakaf, nazr am atau amanah yang menyentuh harta itu.

Dengan pengwujudan Enakmen ini semua harta-harta wakaf tak alih seperti tanah, rumah, bangunan dan lain-lain yang mempunyai dokumen hakmilik didaftarkan di atas nama Majlis Agama Islam Negeri Kedah. Pentadbiran Majlis melalui Bahagian wakaf dipertanggungjawabkan untuk mengurus, mentadbir serta membangunkan harta-harta wakaf di negeri Kedah mengikut tujuan wakaf yang telah ditetapkan dan selaras dengan hukum syarak.

Sekatan bagi pewujudan amanah khairat

54.

(1) Sama ada atau tidak dibuat secara wasiat atau alang semasa marad-al-maut, tiada wakaf atau nazr yang dibuat selepas seksyen ini mula berkuatkuasa dan melibatkan lebih daripada satu pertiga daripada harta orang yang membuatnya boleh menjadi sah berkenaan dengan bahagian yang melebihi satu pertiga itu.

(2)  Tiap-tiap wakaf khas atau nazr yang dibuat selepas seksyen ini mula berkuatkuasa adalah batal dan tidak sah melainkan jika:

     (a)  Kebawah Duli Yang Mulia Sultan, atas nasihat Majlis, dengan nyata memperkenankan dan      
mengesahkan wakaf khas atau nazr itu; dan

     (b) wakaf khas atau nazr itu telah dibuat semasa pembuatnya sakit tenat dan kemudian meninggal  dunia akibat sakit itu dan telah dibuat secara bertulis melalui surat cara yang disempurnakan olehnya dan disaksikan oleh dua orang Islam dewasa yang tinggal di kariah masjid yang sama dengan pembuat itu.

(3)  Seksyen ini tidaklah berkuatkuasa untuk menjadikan sah apa-apa wasiat, alang semasa marad-al-maut atau nazr yang tidak sah di bawah peruntukan Hukum Syarak.

(4)  Apa-apa wakaf atau nazr yang sah menurut Enakmen terdahulu hendaklah terus sah bagi maksud Enakmen ini.

Pendapatan daripada wakaf dan nazr

55.    

(1)  Tertakluk kepada subseksyen (3), pendapatan yang diterima oleh Majlis daripada sesuatu wakaf khas hendaklah digunakan olehnya mengikut peruntukan yang sah bagi wakaf khas itu.

(2)  Pendapatan daripada tiap-tiap wakaf selain wakaf khas dan tiap-tiap nazr ‘am hendaklah dibayar kepada dan menjadi sebahagian daripada Baitulmal.

(3)  Majlis boleh mengenakan apa-apa bayaran atas kadar yang ditentukan oleh Majlis bagi pengurusan wakaf khas dan bayaran itu hendaklah ditolak daripada pendapatan  wakaf khas tersebut dan dikreditkan kepada Majlis sebagai hasil.

Masjid

Majlis menjadi pemegang amanah tunggal bagi masjid dan tanah yang berkaitan dengannya

59.    

(1)  Walau apapun apa-apa peruntukan yang  berlawanan dalam mana-mana surat cara bertulis, Majlis hendaklah menjadi pemegang amanah tunggal bagi semua masjid dalam Negeri Kedah Darul Aman.

(2)  Tiap-tiap masjid, bersama dengan tapak masjid itu dan mana-mana tanah yang berhubung dengan dan digunakan bagi maksud masjid itu, selain tanah Kerajaan atau tanah yang dirizab bagi maksud awam, hendaklah, sebaik sahaja didaftarkan di bawah undang-undang bertulis yang berhubungan dengan tanah, dan tanpa apa-apa pemindahhakan, penyerahakan, atau pemindahmilikan, terletak hak pada Majlis bagi maksud-maksud Enakmen ini.

Jawatankuasa Kariah

67.    

(1)     Majlis boleh, atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan, membuat peraturan bagi-

(a)  penubuhan Jawatankuasa Kariah bagi sesuatu kariah masjid;

(b)  menetapkan cara bagaimana anggota Jawatankuasa Kariah itu hendak dilantik; dan

(c)   menetapkan fungsi Jawatankuasa Kariah itu.

 

(2)              Jawatankuasa Kariah sesuatu kariah masjid, bersama-sama dengan Pegawai Masjid, hendaklah-

(a)   bertanggungjawab bagi pengelolaan sempurna dan keadaan baik masjid dan semua tanah perkuburan Islam dalam kariah masjid itu;

(b)   bertanggungjawab bagi kelakuan baik anak kariah masjid itu dalam perkara-perkara yang berhubungan dengan agama Islam; dan

(c)   memberikan maklumat wajar dan segera kepada Majlis tentang semua perkara yang berbangkit dalam kariah masjid itu yang memerlukan perhatian Majlis

Info Perhubungan

Bangunan Wan Mat Saman,
05000 Alor Setar,
Kedah Darul Aman
+604 - 734 3755
+604 - 731 6634 (Faks)
maik@kedah.gov.my
admin@maik.gov.my

Kemaskini Terakhir

Khamis, 17 Jul 2014 03:07 pm

Statistik

  • Hit Laman:993,832
  • Bilangan Pelawat:
  • Hari ini:271
    Minggu ini:6051
    Bulan ini:271
    Tahun ini:378089