04 - 734 3755
  maik@kedah.gov.my
HEBAHAN
Kadar fidyah semasa bagi negeri Kedah Darul Aman adalah RM1.80 secupak beras
APA ITU FIDYAH

Fidyah ialah denda ke atas seseorang Islam yang meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada') bulan Ramadhan sehingga masuk Ramadhan tahun berikutnya. Hasil bayaran fidyah akan dimasukkan ke dalam akaun Tabung Amanah Baitulmal Kedah sebelum urusan pengagihan kepada fakir miskin dalam bentuk beras dan bekalan makanan dilaksanakan.


hukum fidyah

Hukum membayar fidyah adalah wajib. Ia wajib disempurnakan mengikut bilangan hari yang ditinggalkan. Ia juga menjadi satu tanggungan (hutang) kepada Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan.


Prosedur Pembayaran Fidyah di MAIK

Perkiraan dan bayaran fidyah boleh dibuat di Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Bangunan Wan Mat Saman, Alor Setar atau kepada wakil MAIK di setiap pejabat agama daerah.

Kadar bayaran fidyah berubah mengikut harga yang ditetapkan oleh pemerintah di sesuatu tempat. Pengiraan kadar fidyah berdasarkan kadar harga beras (makanan asasi penduduk). Beras fidyah tersebut hendaklah diagihkan kepada fakir atau miskin.


Prosedur Pembayaran Fidyah di MAIK

  1. Uzur menunaikan puasa wajib

    Terdiri daripada golongan yang menghidapi sakit kuat dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, atau golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali.
  2. Perempuan hamil

    Dengan syarat dibimbangi akan keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan membayar fidyah dan juga menggantikan (qada') puasa yang ditinggalkan.
  3. Ibu yang menyusukan Anak

    Dengan syarat ibu yang merasa bimbang akan memudharatkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu. Maka baginya menggantikan puasa yang ditinggalkan serta membayar fidyah.
  4. Orang yang telah meninggal dunia

    Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sebelum pembahagian pusaka dibuat.
  5. Melambatkan Ganti Puasa (Qada')

    Mereka yang melambatkan ganti puasanya hingga telah melangkah tahun yang berikutnya (bulan Ramadhan), dikenakan denda membayar fidyah dan juga wajib menggantikan (qada') puasa yang ditinggalkan. Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun-tahun yang ditinggalkan

CABUTAN MINIT MESYUARAT JAWATANKUASA FATWA NEGERI KEDAH
3 APRIL 2014 BERSAMAAN 03 JAMADIL AKHIR 1435 FATWA MENGENAI FIDYAH DAN KAFARAH


Pandangan jawatankuasa fatwa mengenai persoalan berkenaan Fidyah dan Kifarah yang dikemukakan oleh pihak Baitulmal Majlis Agama Islam Kedah :

Mengikut Mazhab Syafie, fidyah dan kifarah hanya boleh dibayar dengan makanan ruji / asasi mengikut negeri masing-masing sahaja. Bolehkah kita membayar fidyah dan kifarah dengan menggunakan wang,sedangkan zakat dan zakat fitrah boleh dibayar dengan menggunakan wang?

Membayar fidyah dan kifarah dengan menggunakan wang atas muslihat masyarakat masa kini adalah diharuskan mengikut pandangan mazhab Hanafi.

Ini merujuk kepada siasah khalifah Umar bin Abdul Aziz yang mengharuskan mengeluarkan zakat dalam bentuk nilai.



Maksudnya :

Berkata Imam Al Tsauri dan Imam Abu Hanifah dan para sahabatnya : Harus mengeluarkan zakat dalam bentuk tunai. Sesungguhnya yang demikian ayat diriwayatkan oleh Umar Bin Abdul Aziz dan Imam Hassan Al Basri.



Maksudnya :

Adapun pandangan ini menunjukkan bahawa nabi ﷺ telah bersabda :

“Kayakan mereka iaitu orang-orang miskin pada hari ini (hari raya) dan mengkayakan mereka boleh dilaksanakan dengan memberi makan,barangkali memberi nilai wang itu lebih utama kerana berlebihan makanan di samping orang miskin itu mendesak mereka supaya menjualnya. Sedangkan wang ringgit membolehkan mereka membeli keperluan sama ada makanan, pakaian dan apa yang mereka perlukan.”



Berdasarkan fatwa negeri Selangor, pembayaran fidyah dan kifarah yang tertangguh adalah tidak digandakan (harus),ini menurut sebahagian daripada pandangan Mazhab Syafie. Adakah gandaan fidyah dan kifarah bagi negeri Kedah diambil kira?

Merujuk kepada pandangan Mazhab Syafie pembayaran kifarah dan fidyah yang tertangguh hendaklah digandakan. Ini berdasarkan qaul yang sah:



Maksudnya :

Barang siapa yang terlewat mengqhada Ramadhan pada tahun itu sedangkan ia berkemampuan melakukannya sehinggalah masuk Ramadhan berikutnya maka wajib ke atasnya (membayar fidyah satu hari satu cupak) di samping ia mengqhadakan puasa yang ditinggalkan itu pada pendapat yang sah fidyah itu berulang dengan berulangan Tahun-tahun yang ia luput itu,dan sekiranya ia melewatkan qhada puasanya sedangkan ia mampu berbuat demikian maka jika ia mati di tahun-tahun itu.

Maka hendaklah dikeluarkan fidyah itu daripada pusakanya setiap hari dua cupak : Satu cupak untuk 1hada lagi untuk kelewatannya.

Sekiranya pembayaran fidyah dan kafarah itu di kalangan orang-orang kaya dan berkemampuan maka pembayaran fidyah dan kafarah yang tertangguh hendaklah dikenakan sesuai dengan qaul yang sah dalam Mazhab Imam Syafie. Akan tetapi jika pembayar fidyah dan kafarah itu di kalangan orang miskin atau fakir maka tidaklah perlu digandakan berpandukan kepada satu qaul yang lain di dalam mazhab Syafie.



Bagaimana jika kita sengaja tidak mahu berpuasa dua bulan berturut-turut bagi kafarah persetubuhan di siang hari Ramadhan dan Zohor dengan mengambil jalan yang mudah untuk memberi makan kepada 60 orang miskin?adakah dibolehkan? Adakah kita boleh untuk tidak mengikut turutan kafarah yang diwajibkan tersebut?

Contohnya :

Kita rasa keberatan dan tidak mahu untuk berpuasa dua bulan berturut turut tanpa sebab yang kukuh,maka dengan mudah kita terus memberikan makan kepada 60 orang miskin?

Merujuk pada pandangan Ulamak :



Maksudnya :

Tiada perselisihan di antara Ulamak dalam mewajibkan kafarah secara tertib iaitu mendahulukan pembebasan hamba sekiranya ia tidak mampu maka wajib ia berpuasa dua bulan berturut-turut dan sekiranya ia tidak mampu berpuasa maka berilah makan kepada 60 orang fakir miskin.

Pandangan di atas menyatakan bahawa tidak ada perselisihan di antara Ulamak bahawa kafarah persetubuhan di siang hari Ramadhan dan zihar hendaklah mengikut tertib.Ini dijelaskan dalam sebuah hadith :



Maksudnya :

Diriwayatkan dari Abu Hurairah رضي الله عنه beliau berkata seorang lelaki datang kepada Nabi ﷺ seraya bertanya: Puasa aku telah binasa hari ini, kemudian berkata Nabi ﷺ : Apa yang menyebabkan kamu binasa? Lelaki itu menjawab : Saya telah bersetubuh dengan isteri saya pada siang Ramadhan. Bertanya Nabi: Apakah kamu ada hamba untuk dimerdekakan? Beliau menjawab : Tiada. Kemudian Nabi ﷺ bertanya lagi : Apakah kamu mampu berpuasa dua bulan berturut-turut? Beliau menjawab : Tidak mampu . Nabi bertanya lagi : Apakah kamu ada makanan untuk di berikan kepada enam puluh orang miskin? Dia menjawab : Tidak mampu. Kemudian dia duduk dan didatangkan Nabi ﷺ satu bekas berisi kurma, lalu Nabi ﷺ bersabda bersedekahlah dengan tamar ini. Lelaki itu bertanya lagi , adakah untuk diberikan kepada orang yang lebih fakir daripada kami, maka tidak ada di antara dua gunung di Madinah ini keluarga yang lebih berhajat daripada kami, maka ketawa Nabi ﷺ sehingga ternampak gerham baginda, kemudian baginda bersabda : pergilah, maka berilah makan kepada ahli keluarga kamu.

Oleh itu, sekiranya pembayar Kafarah tidak mampu berpuasa dua bulan berturut-turut maka dibolehkan berpindah kepada kafarah yang seterusnya iaitu memberi makan kepada 60 orang fakir miskin. Kemampuan berpuasa itu diukur melalui kemampuan darinya yang tidak ada kekuatan untuk berpuasa secara berterusan dalam tempoh dua bulan dan diperakui doktor muslim sekiranya puasanya itu akan menjejaskan kesihatan atau tubuh badan pembayar kafarah tersebut. Maka dibolehkan berpindah kepada kafarah memberikan makan kepada 60 orang fakir miskin.



Jika seseorang itu melakukan zina di bulan Ramadhan,apakah hukumnya dan bagaimanakah cara untuk menggantikan puasa?adakah dikenakan kafarah?Jika dikenakan kafarah,bagaimanakah kaedah untuk melakukannya? Adakah dikiaskan seperti suami isteri berjimak di siang hari bulan Ramadhan?

Jawapannya :

Orang yang melakukan perbuatan itu yakni pasangan tersebut wajib mengqhadakan puasa Ramadhannya mengikut hari yang di tinggalkan. Walau bagaimanapun kafarah tidak dikenakan kepada lelaki yang melakukan perbuatan zina itu. Para ulamak berpendapat kafarah hanya dikenakan kepada lelaki yang berkahwin secara sah. Orang yang melakukan zina di ang hari bulan Ramadhan tidak dikenakan kafarah tetapi dikenakan balasan yang lebih besar iaitu hudud.



Sekiranya pihak yang menerima bayaran fidyah dan kafarah (baitumal) daripada pembayar yang menangguhkan fidyah dan kafarah yang dibayar pada tahun tersebut tidak diagihkan sehingga tahun berikutnya,apakah hukumnya?

Jawapannya :

Pihak baitulmal merupakan wakil daripada pembayar fidyah. Sekiranya penangguhan pembayaran fidyah tersebut disebabkan faktor-faktor yang diterima di sisi syarak seperti banjir,bencana alam dan seumpamanya maka di bolehkan. Akan tetapi jika sebab penangguhan itu atas faktor kelemahan dan kecuaian pihak baitulmal maka pihak baitulmal bertanggungjawab atas perkara tersebut.



Bolehkah pihak baitulmal menerima kos perkhidmatan atas pembayaran dalam pengurusan fidyah dan kafarah yang diuruskan oleh pihak baitulmal?Kos tersebut bertujuan untuk pengurusan dalam tenaga kerja baitulmal. Jika boleh, berapakah kadar kos yang boleh diambil daripada hasil fidyah dan kafarah?

Jawapannya :

Pihak baitulmal boleh mengenakan kos tambahan/cas perkhidmatan bagi tujuan pengurusan dengan kadar yang munasabah dan tidak membebankan pembayar fidyah dan kafarah itu. Namun demikian,kos tersebut tidak boleh ditolak daripada kadar sebenar fidyah dan kafarah tersebut.



Sekiranya dalam kafarah membunuh dengan tidak sengaja,hukum kafarahnya yang pertama adalah membebaskan hamba,dan sekiranya tidak mampu dan tiada hamba,maka hendaklah berpuasa selama dua bulan berturut-turut berserta taubat nasuha. Persoalannya,seandainya seseorang itu tidak mampu menyempurnakan kedua-dua kafarah di atas,apakah yang perlu dilakukan untuk menebus dosanya?

Jawapannya :

Menurut pandangan ulamak sekiranya seseorang itu tidak mampu membayar kafarah membunuh dengan secara tidak sengaja maka waris hendaklah berpuasa bagi pihak pembunuh tersebut. Sekiranya waris tidak mampu untuk berpuasa maka waris hendaklah membayar fidyah satu hari satu cupak selepas kematian pembunuh itu.



Jika pihak baitulmal telah mendapat hasil kutipan daripada fidyah dan kafarah dan diagihkan pada tahun tersebut tetapi terdapat lebihan baki agihan fidyah dan kafarah pada tahun tersebut,contohnya baki lebihan tersebut sebanyak RM100.00 adakah wang lebihan itu boleh dibuat pelaburan?

Jawapannya :

Pihak baitulmal tidak boleh membuat pelaburan daripada baki lebihan fidyah dan kafarah,tetapi hendaklah mengagihkan baki lebihan tersebut pada tahun berikutnya. Perlu ditegaskan di sini bahawa kelewatan pembayaran baki lebihan fidyah dan kafarah itu atas sebab syarak.
Wallahu a’lam

DISAHKAN OLEH :
Datuk Paduka Sheikh Muhammad Baderuddin bin Haji Ahmad, DHMS., DSDK., BKM.
Mufti Negeri Kedah Darul Aman